Tuesday, February 17, 2009

Bila Lawas Di landa Banjir

Hari ini, sudah lebih seminggu Pekan Lawas di landa banjir. Berdasarkan cakap2 orang kat sini, banjir tahun ni adalah yang paling besar selepas banjir pada tahun 70 an dahulu. Di sebalik musibah yang menimpa para peniaga yang bertapak di sana, terdapat kebaikan kepada sesetengah pihak. Ini kerana banyak kedai yang membuat jualan murah bagi mengelakkan kerugian yang berganda kerana kerosakan barang jualan yang terendam di dalam air banjir. Daripada kasut, perabot, peralatan elektrik, hinggalah kepada pakaian. Kebanyakan barang-barang tersebut dijual dengan diskaun sehingga 50% daripada harga sebenar.

Aku dapat lihat seolah-olah pesta sedang berlangsung di kedai-kedai yang membuat jualan murah tu. Suasana seperti ini mengingatkan aku kepada kejadian banjir yang menimpa Kota Tinggi, Johor pada tahun 2007 yang lalu. Kedai-kedai di sana pun mengadakan jualan murah untuk mengelakkan kerugian yang besar. Dan tahun ini, senario sebegitu berulang lagi di depan mata aku tetapi berbeza tempat. Benarlah kata orang, disebalik sesuatu perkara yang terjadi, terdapat hikmah disebaliknya. Terpulang kepada iman masing-masing untuk menerima kenyataan yang terjadi dengan hati yang terbuka atau sebaliknya. Tepuk dada, tanyalah iman.

Saturday, January 31, 2009

Bila Mendapat Posting Pertama

"Anda telah ditempatkan ke SARAWAK berkuatkuasa pada 2 Januari 2009."

Ayat di atas adalah antara perkataan yang telah mengiring aku ke tempat yang aku berada sekarang; Bumi Lawas. Hari ini dah tiga minggu aku berada di sini. Secara kasarnya kehidupan disini tidak lah sesusah yang disangkakan. Susah dari segi perhubungan, dari segi mendapatkan sumber makanan dan dari segi mendapatkan barang keperluan. Semuanya mudah untuk didapati di sini. Memandangkan aku berada di kawasan pekan, maka sebab itu lah segala-galanya mudah untuk diperolehi.

Bumi Lawas ini pernah aku jejaki pada tahun 2000 dahulu. Setelah 9 tahun berlalu, bumi ini aku jejaki sekali lagi atas kapasiti aku sebagai seorang guru. Tidak banyak yang berubah. Namun boleh dikatakan yang tempat ini tidaklah ketinggalan dari segi pembangunan. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkanNya. Dan di sinilah, jemari ini akan terus menari...


Sunday, January 25, 2009

Bila Terasa Ingin 'Memblogging' Kembali

Sudah lama aku merehatkan diri dlm aktiviti menulis blog. Semenjak dinaikkan pangkat pada 2007 dulu dan semenjak aku berhenti kerja dan sambung belajar kembali pada 2008, aku terus berhenti daripada aktiviti menulis blog ini. Tapi sekarang, setelah 2 tahun berhenti dan setelah kembali bekerja...tetiba gerak hati aku ini terasa untuk aktif kembali.

Setelah merasakan penghijrahan aku pada tahun ini (2009) akan merakamkan pelbagai peristiwa-peristiwa menarik untuk dirakamkan, maka...aku zahirkan gerak hati aku. Semoga rakaman peristiwa yang berlaku pada aku dan sekeliling aku dapat dikongsikan bersama 'blogger' yang lain untuk dibincangkan bersama atau sekadar dijadikan bacaan semata-mata.

Maka, bila jemari ini mula menari.....akan terus menari sehingga berjumpa dengan noktah akhirnya.

Bandar Limbang: Permulaan Kerjaya Baru